TOC periksa kenderaan percuma di Utusan

 
 Photo: HARUN ZAINAL (kanan) dan Pemangku Pengurus Latihan TOC, Peter E Tiotanggo (kiri) memantau kerja-kerja penyelenggaraan kereta kakitangan Kumpulan Utusan sempena projek komuniti `Tender Loving Car' di tempat letak kereta Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, semalam. Source:  Utusan Online

Photo: HARUN ZAINAL (kanan) dan Pemangku Pengurus Latihan TOC, Peter E Tiotanggo (kiri) memantau kerja-kerja penyelenggaraan kereta kakitangan Kumpulan Utusan sempena projek komuniti `Tender Loving Car' di tempat letak kereta Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, semalam.
Source: Utusan Online

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Kolej Automotif TOC (TOC) melalui projek komuniti ‘Tender Loving Car’ mengadakan pemeriksaan kenderaan dan khidmat nasihat percuma kepada warga kerja Utusan Melayu (M) Berhad hari ini.

Penyelaras program, Harun Zainal berkata, projek servis komuniti itu bertujuan memberi pendidikan asas dalam pengendalian automotif kenderaan persendirian kepada pemilik, selain menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

Katanya, pemeriksaan hanya dilakukan ke atas kenderaan ringan dan antara servis yang dijalankan adalah pemeriksaan enjin dan tayar, sistem elektrik, sistem komputer dan pelbagai lagi pemeriksaan mengikut spesifikasi kenderaan pemilik.

Beliau yang juga tenaga pengajar di TOC berkata, kecenderungan pemilik kenderaan untuk memahami perkara asas pengendalian sistem kenderaan masih rendah dan perkara ini boleh merugikan mereka apabila terpaksa berbelanja besar ke bengkel.

“Ini dapat dielakkan sekiranya pemilik kenderaan tahu perkara asas mengenai sistem dan alat ganti kenderaan mereka kerana kemungkinan ditipu di bengkel.

“Sebanyak 10 tenaga pengajar terlibat memeriksa kenderaan dan disusuli dengan khidmat nasihat bagi tujuan penerangan ke atas sebarang sistem yang memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

TOC kini mempunyai lebih 400 pelajar yang mengikuti pelbagai program, antaranya Diploma Teknologi Automotif, Diploma Sukan Permotoran serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua dan Tahap Tiga.

Selain melalui projek komuniti, Harun berkata, pemeriksaan secara percuma juga dapat dilakukan di kolej pada setiap hari Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 1 petang dan perlu membuat janji temu dahulu.

“Orang ramai turut ditawarkan menyertai kelas penyelenggaraan kenderaan (CM 101) oleh pakar kenderaan dari TOC dengan bayaran RM200 seorang untuk modul setengah hari melalui talian 03-79552811,” katanya.

Article source: Utusan Online