Memoden asas juruteknik

 

Program ini bakal memberi manfaat kepada para pelajar automotif serta golongan profesional dalam bidang perkhidmatan selepas jualan di Malaysia, Hong Kong dan negara-negara ASEAN.

 LASSUS berharap penubuhan FMTCCT dapat mengukuhkan lagi rangkaian Citroen di Malaysia dan negara-negara asean.  Source from:  Kosmo Online

LASSUS berharap penubuhan FMTCCT dapat mengukuhkan lagi rangkaian Citroen di Malaysia dan negara-negara asean.

Source from: Kosmo Online

BARU-BARU ini, kolej The Otomotif College (TOC) dan Automobiles CITROËN telah mengukuhkan kerjasama yang turut melibatkan Kementerian Pendidikan Perancis serta Brooklands Motors Sdn. Bhd.

Ia bagi menubuhkan Pusat Latihan Franco-Malaysia (Franco-Malaysian Training Centre), khas buat kakitangan profesional perkhidmatan selepas jualan.

Projek latihan yang diberi nama Franco-Malaysian Training Centre Citroën-The Otomotif College (FMTCCT) itu bertujuan memberi sumbangan kepada memodenkan aspek latihan asas kepada golongan juruteknik.

Mereka ini bertanggungjawab dalam proses penyelenggaraan kenderaan dan perkhidmatan pelanggan di Malaysia, Hong Kong dan negara-negara ASEAN yang lain.

Bercakap pada majlis pelancaran rasmi FMTCCT, Ketua Pegawai Eksekutif TOC, Adelaine Foo menyatakan bahawa kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kolej dalam menyediakan peluang-peluang kepada pelajar untuk memperoleh latihan secara profesional dan pengiktirafan daripada industri menerusi penglibatan aktif bersama syarikat-syarikat automotif.

"Melalui kerjasama ini, kami berhasrat membawa graduan teknologi automotif lebih hampir dengan keperluan industri. Terutamanya bagi kelompok juruteknik dengan asas pengetahuan yang kukuh, selain kemahiran terhadap teknologi tinggi.

"Pemilihan TOC oleh pihak Citroen yang merupakan pemain utama dalam industri automotif dunia, sememangnya satu penghormatan buat TOC untuk menjadi penyedia modal insan berkualiti untuk masa depan.

"Justeru, kami begitu komited dalam memastikan kejayaan FMTCCT menerusi sokongan daripada Citroen," kata Foo.

Turut hadir di majlis penuh makna itu ialah Pengurus Besar Serantau, Ibu Pejabat Citroen Serantau, Asia Tenggara dan Hong Kong, Benoit de Lassus, yang nyata teruja dengan kerjasama ini.

"Hari ini, kita melangkah satu tapak lagi dengan pelancaran semula jenama Citroen menerusi penubuhan rasmi Franco-Malaysian Training Center Citroën-TOC.

"Langkah kerjasama dengan rakan kami TOC, akan membolehkan rangkaian Citroen di Malaysia dan negara-negara ASEAN untuk meningkatkan tahap kualiti dalam perkhidmatannya.

"Selain itu, Citroen juga lebih bersedia untuk berdepan cabaran masa depan dengan cara memberi peluang kepada para pelajar untuk didedahkan kepada model-model keluaran Citroen.

"Malah, peningkatan kemahiran dalam menggunakan teknologi Citroen membuatkan tidak mustahil satu hari nanti ada pelajar yang berminat untuk membuka rangkaian pusat servis Citroen.

"Kami yakin, penubuhan pusat latihan yang baru, ditambah dengan komitmen dan kerjasama daripada rakan-rakan Citroen iaitu TOC dan Brooklands Motors, membolehkan kepakaran dan inovasi Citroen yang terkenal dalam penghasilan kenderaan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Terutamanya para pelanggan yang mahukan pengalaman terbaik memiliki sebuah kenderaan jenama Citroen," jelas Lassus.

Tetamu kehormat, Duta Perancis ke Malaysia, Marc Baréty juga dijemput untuk menyampaikan sijil kehadiran kepada kumpulan pertama pelatih yang bakal menghadiri kuliah selama enam minggu, bermula 6 Oktober lalu.

 FMTCC bakal dilengkapi dengan peralatan canggih daripada pihak Citroen.  Source from:  Kosmo Online

FMTCC bakal dilengkapi dengan peralatan canggih daripada pihak Citroen.

Source from: Kosmo Online

Dalam ucapan alu-aluannya, Baréty memuji usaha inovatif Citroen dan penekanannya terhadap bidang pendidikan serta latihan yang berterusan untuk membangunkan modal insan.

"Keutamaan diberikan kepada aspek ilmu pengetahuan ini juga adalah sebahagian daripada kerjasama jangka masa panjang yang dibangunkan oleh Citroen dengan Kementerian Pendidikan Perancis.

"Ia bertanggungjawab mengadakan program-program latihan serta kurikulum di sekolah-sekolah vokasional di Perancis dan luar negara, bertepatan dengan pendedahan syarikat itu di peringkat antarabangsa.

"Citroën, Brooklands dan The Otomotif College berkongsi idea mengenai apa yang sepatutnya ada dalam latihan vokasional. Maka, saya pasti The Otomotif College dan para pelajarnya akan memperoleh banyak pengalaman baru, selain manfaat yang juga diperoleh oleh Citroen menerusi kerjasama ini," kata Baréty.

Kumpulan pertama pelatih di bawah projek FMTCCT yang menerima sijil pada hari itu termasuklah Jason bin Morris (Cycle & Carriage, Singapura); Jared T Gubot, Allan A. Cabiles (The Otomotif College); Hoon Zheng Fook, Yap Sze Siang (PSA Peugeot Citroën Technical Platform, Kuala Lumpur); Wan Iskandar, Faizal Wahab, Kamaruddin Johar (Brooklands Motors); Mohamad Sopie dan Paul Stephen Theirsera (Seong Hoe Motors, Melaka).

Article source:Kosmo Online